Nuffnang

Saturday, April 24, 2010

Rita pernah minta Aidil untuk diputuskan cinta Mereka








David Beckham & Posh Malaysia?

SEORANG popular di dunia seni dan seorang lagi cukup ternama di dunia sukan. Apakah pasangan ini bakal digelar David Beckham dan Victoria Beckham (Posh) Malaysia?

Ada kebarangkaliannya. Kisah cinta, pernikahan dan kontroversi yang membabitkan pelakon Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak hampir menyamai episod kehidupan bintang bola sepak kelab AC Milan dan anggota kumpulan Spice Girls itu.

Aidil yang menjadi 'ayam tambatan' skuad bola sepak kebangsaan juga merupakan antara ahli sukan yang digilai ramai gadis manis di luar sana, sama seperti Beckham.

Justeru, banyak yang kata 'bertuahnya' Rita dilamar Aidil, jejaka baru berusia 21 tahun, ternama dan menjadi pujaan ramai pula, sama sebagaimana orang berkata bertuahnya Posh dipuja David.

Pun itu tuah Rita. Tuah Aidil pula tak kurang hebatnya apabila aktres sejelita Rita secara rasmi sudah berada dalam genggamannya. Tuah yang sama dikecapi Beckham apabila Posh sudi menerima lamarannya suatu ketika dulu.

Rita sebagaimana yang sedia diketahui adalah antara pelakon drama yang berada di kelas A dalam dunia penerbitan drama tempatan.


Malah, Rita bukan sahaja diminati dek gaya lakonan yang hebat dan bersahaja, tetapi dia merupakan seorang artis yang cukup dikenali dengan sifat lemah lembut, bersopan santun dan pandai bermanja.

Meskipun sesekali ada kontroversi hangat menghimpit dirinya, Rita lebih dikenali sebagai pelakon berbakat dibandingkan dengan cerita-cerita panas.

RITA cukup terharu dengan keberanian Aidil mempertahankan cinta mereka.

Pada 25 Februari 2008 pasangan ini mengakhiri cinta penuh ranjau dan duri mereka dengan ikatan mulia pernikahan.

Walaupun majlis pernikahan berlangsung di negara jiran, Thailand, apa yang penting kepada pasangan ini ialah mereka melayari kehidupan atas landasan sebagai suami isteri yang 'halal'.

Tidak kira bagaimana 'hanyir' susuh perjalanannya, mereka dalam destinasi mencari reda Illahi menyahut seruan Nabi bagi mengkayakan lagi umat Islam sejati.

"Selepas berkahwin, hidup saya mula berubah. Saya dapat merasakan perkahwinan telah memberikan semangat baru dalam hidup saya sebagai seorang lelaki.

"Cinta kami bertambah kuat selepas isteri saya disahkan mengandung bulan lepas," kata Aidil menceritakan perasaan bahagianya bergelar suami kepada Rita.

PASANGAN David dan Victoria Beckham.

Mengakui kehidupannya kini semakin bererti dengan status terkini mereka sebagai suami isteri, menurut Aidil dia yakin mampu mengemudi bahtera cintanya dengan sebaik mungkin meskipun banyak yang 'curiga' akan tahap kematangannya jika dilihat kepada usia mudanya.

SELESAI kontroversi, pasangan ini meniti kebahagiaan dalam menanti kelahiran sulung buah cinta mereka.

Kepadanya, membuat keputusan berkahwin padai usia muda bukan sesuatu yang perlu dihairankan terutama apabila seorang lelaki itu sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab.

"Tuhan permudahkan jalan kami untuk berkahwin. Jadi, kami perlu bersyukur dan jaga ikatan ini dengan sebaik mungkin.

"Soal kenapa kami memilih berkahwin di Siam itu adalah kerana saya sudah betul-betul sedia ambil Rita jadi isteri," kata Aidil pada sidang akhbar di Hotel Crown Princess Kuala Lumpur, kelmarin.

Ia merupakan sidang akhbar pertama jaguh bola sepak itu kepada media setelah perkahwinan 'rahsianya' terdedah di dada media. Pendedahan itu dibuat oleh ahli keluarganya sendiri

Kagum keberanian suami

Melihat kesungguhan Aidil yang sanggup memperisterikannya, Rita pula tidak dapat menyembunyikan rasa kagum.

Kata Rita, dia cukup terharu dengan keberanian Aidil yang sanggup mempertahankan cinta mereka sehingga ke jinjang pelamin.


PEGANGAN erat tangan Rita dan Aidil membuktikan cinta mereka tidak dapat dipisahkan lagi

Kepada wanita berusia 32 tahun ini, awalnya dia kurang yakin apabila Aidil meluahkan hasrat untuk melamar kira-kira dua minggu sebelum tarikh pernikahan mereka.

"Bagaimanapun, selepas tengok Aidil begitu bersungguh-sungguh, saya bersedia bersama dengannya. Keluarga saya pun awalnya tidak memberi restu sebab tak mahu orang salah anggap.

"Setelah Aidil datang dan berbincang dengan elok, akhirnya mereka reda dan sedia memberikan restu untuk kami bernikah," kata pelakon jelita ini.

Menurut Rita, selepas berkahwin dia tidak mahu memandang ke belakang lagi. Apa yang penting, dia mahu menjaga hubungan bersama suami dengan baik, selain menjaga kesihatan demi anak dalam kandungan.

"Lain-lain hal Rita tak mahu fikir dulu. Apa yang penting kandungan Rita sihat, fikiran tidak terganggu dan kami bahagia bersama. Doa Rita semoga kasih sayang kami tidak berubah sampai bila-bila pun," katanya.

Nafi keluarga tak restu

Dalam sidang media yang sama, Aidil turut menafikan pendapat yang mengatakan bahawa keluarganya membantah keras hubungannya dengan Rita.

Dalam erti kata lain, keluarga Aidil dikatakan menghalang cinta antara mereka ekoran status 'janda' dan perbezaan usia antara kedua-duanya yang bersilang 11 tahun.

Menurut Aidil, soal tiada restu yang diberikan oleh keluarganya tidak pernah timbul sama sekali.

"Dalam sidang akhbar baru-baru ini pun keluarga saya bagi tahu mereka terkilan sebab kami kahwin tak bagi tahu. Mereka tak cakap pula tak beri restu kepada hubungan kami. Jadi, soal tak beri restu itu langsung tak timbul," kata Aidil lagi yang sudah membawa Rita bertemu dengan keluarganya di Seremban bulan lalu.

Tiada majlis resepsi

Pasangan ini memberitahu, buat masa sekarang mereka tidak merancang untuk menganjurkan sebarang majlis bagi meraikan sahabat handai sempena pernikahan mereka.

Sebaliknya mereka memilih untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu, antaranya proses mendaftarkan semula perkahwinan dalam negara.

"Biarlah kami selesaikan satu persatu dulu. Sekarang kami sedang dalam proses mendaftar pernikahan.

"Kami sudah buat sidang akhbar dan selepas ini kami mahu jalani kehidupan sama macam orang lain dan bahagia berdua," kata Aidil.

APAKAH yang buat kalian saling jatuh hati?

AIDIL: Memang semua orang akan pertikaikan umur saya. Kepada saya, saya tak pentingkan umur. Apa yang penting, apa yang saya suka ada pada diri. Dia tak kongkong hidup saya. Susah senang saya dia sentiasa ada di sebelah saya, sokong saya. Semua apa yang saya hendak ada pada diri dia. Susah saya hendak cari pengganti dia. She’s the best.

RITA: Aidil bukan macam kawan-kawan yang sebaya dengannya. Dia suka duduk rumah, sangat bertanggungjawab dengan keluarga dan bukan jenis berpoya-poya. Memanglah dia cemburu, tetapi bukan cemburu buta.

Sekarang okeylah, Aidil 20, Rita 30 tahun. Nanti bila Aidil 30, Rita sudah 40 tahun, bersedia ke?

AIDIL: Hal ini bergantung kepada keikhlasan kita juga. Apa yang ada dalam hati kita, itu yang utama. Umur sama pun, kalau tak ikhlas jadi kucar kacir.

RITA: Dulu memang saya ingat dia masih budak-budak. Tetapi sebenarnya dia ni cukup matang. Lama-kelamaan dia jadi makin serius dan tahu apa dia nak.

Dari mana dapat kekuatan untuk umumkan kisah nikah?

AIDIL: Lepas tahu isteri saya mengandung. Masa tu rasanya tak nak rahsiakan lagi. Bila isteri sudah mengandung, saya rasa kena bagi tahu dan tak kisah lagi apa hendak jadi. Walaupun keluarga terkejut ke, apa ke, saya sanggup terima kesannya. Kami bincang dulu dengan Kak Long (kakak sulung Aidil) dan kemudian baru jumpa abah dan emak.

RITA: Rita sudah lama sedia. Cuma tunggu Aidil benar-benar bersedia. Kalau boleh lepas kahwin kita nak bagi tahu semua orang. Tetapi keadaan membuatkan kami terpaksa merahsiakannya dulu.

Bagaimana dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengaitkan Aidil seolah-olah ‘anak durhaka’, kahwin tanpa restu keluarga?

AIDIL: Apa pun kenyataannya hanya saya dan keluarga yang tahu. Sebenarnya hubungan saya dan keluarga macam biasa, tak bermusuh atau bergaduh. Cuma biasalah, ini soal hati dan perasaan. Mungkin mereka kena ambil masa untuk terima semua benda ini. Tetapi saya percaya keadaan akan jadi okey.

RITA: Keluarga Rita pun tak suka sangat awalnya. Mereka suruh kami fikir betul-betul. Tapi bila sudah tengok Aidil serius, mereka tak boleh halang. Keluarga pun risau juga kalau-kalau jadi benda yang tak elok, lagi susah. Lebih baik kahwin saja.

Perasaan selepas kahwin?

AIDIL: Saya lega sangat. Masalah saya selama tiga tahun sudah selesai bila kami kahwin. Akhirnya ini jawapan kepada segala masalah dalam hubungan kami. Saya jadi semakin bersemangat di padang. Yalah, tiga tahun bercinta macam-macam masalah iaitu kami. Alhamdulillah rasa serabut, masalah dalaman semua sudah hilang.

RITA: Dulu masa macam-macam masalah datang, Rita pernah minta ‘putus’. Paksa diri supaya buang saja, jangan berkawan lagi. Yalah, nampak macam saya ni beri banyak sangat masalah pada dia, baik putus. Tapi kami memang tak boleh berpisah. Itu yang buat kami nekad, teruskan juga. Sanggup buat apa saja sebab kami saling menyayangi. Kalau pasal kami berdua, lepas berkahwin tentulah gembira sangat. Perkahwinan ini buat kami rasa istimewa.





Rita Rudaini Tidak Mahu Panjangkan Isu Pernikahan Lagi...

Dramatis popular, Rita Rudaini Mohkhtar, 33, sedih kerana dia terus dipersalahkan dalam isu pernikahan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, 22, di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu.

Aidil sudah menjelaskan pernikahan kami dibuat atas kehendaknya selepas masing-masing memikirkan ini jalan terbaik supaya kami tidak terlanjur dalam menjalin hubungan.

Sebagai anak, Aidil sudah melakukan yang terbaik untuk memulihkan hubungan dengan keluarganya. Saya tidak banyak campur tangan dan biarkan dia menguruskannya supaya masalah boleh diselesaikan dengan baik, katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pelakon utama drama bersiri Rozana itu menjelaskan, mulanya kedua-dua pihak sudah memberi kata putus tidak akan memberikan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung perasaan.

Namun, dia berkata, apa yang berlaku sekarang sebaliknya apabila keluarga mentua terus memberikan kenyataan tidak sepatutnya.

Menurutnya, dia bukan mahu memanjangkan isu atau mencari sengketa dengan keluarga mentua, tetapi mahu umum memahami kedudukan sebenar untuk kepentingannya dan Aidil.

Sepanjang pernikahan kami hangat diperkatakan keluarga mentua mahupun orang luar, saya mendiamkan diri bagi mengelak timbul spekulasi yang boleh menyakiti hati kedua-dua pihak.

Saya kasihankan suami. Apabila kenyataan itu tersiar, dia benar-benar terganggu. Saya rayu kepada keluarga mentua, jangan lagi menyakiti Aidil. Kalau benar mereka masih sayangkan Aidil sebagai ahli keluarga jangan diganggu emosinya kerana bimbang kelak boleh menjejaskan tumpuan terhadap prestasi kerja, katanya.

Rita mengakui dia dan Aidil ada pulang ke rumah mentuanya selepas bernikah.

Ketika suami mengambil keputusan bertemu keluarganya untuk memaklumkan mengenai pernikahan, kami berdua pulang ke Negeri Sembilan. Tidak dinafikan apa yang kami lakukan itu (bernikah) salah dan kami mohon maaf.


Saya sendiri melutut dan memegang tangan ibu mentua meminta mereka memaafkan Aidil dan jangan membuangnya daripada keluarga. Tetapi mereka tidak menghiraukan kami.

Jadi peristiwa itu menjadi bukti kami pulang dan memberitahu sendiri mengenai pernikahan itu, katanya yang menafikan dakwaan kononnya dia cuba memutuskan hubungan Aidil dengan keluarganya.

Sikap saya tidak seburuk seperti tuduhan dibuat hingga mahu memutuskan hubungan antara ibu dan anak. Saya tidak mahu menanggung dosa besar seperti itu.

Suami beberapa kali pulang ke rumah keluarganya. Malah, selepas menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan, Aidil pulang dan waktu itu, kata suami, keluarganya melayannya dengan baik dan mereka menikmati makan tengah hari bersama, katanya.

Bagi Rita, sekiranya keluarga mentua tidak mahu menerimanya sebagai menantu, itu tidak mengapa.

Saya reda dan menerima ujian dan ketentuan Ilahi, tetapi jangan terus menghina saya dan keluarga saya.

Selama ini, saya berdiam diri kerana menghormati keluarga mentua dan tidak paksa mereka menerima saya. Biar masa menentukan, tetapi segala hinaan menerusi SMS kepada saya, keluarga dan suami pada saya itu sudah keterlaluan.

Adakah mereka melakukan itu kerana mahu memberikan tekanan buat saya mahupun Aidil, apatah lagi selepas mereka tahu saya sedang mengandung. Ingin saya jelaskan semua SMS yang mereka hantar saya masih simpan untuk dijadikan bukti,¡± katanya.

Kata Rita, dia benar-benar berharap tiada lagi sebarang kenyataan yang cuba memburukkannya dan keluarga.

Apapun, kami tahu sudah melakukan kesalahan dan banyak kali memohon maaf. Tiada apa lagi yang mampu saya lakukan selain memohon maaf.

Tidakkah mereka terfikir apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Kalau benar mereka marahkan kami jangan memberikan kenyataan membuatkan saya dan suami nampak hina pada mata masyarakat, katanya.

Rita Rudaini terus dihina, dimaki, dicaci cerca keluarga mertua!

TINDAKAN berdiam diri yang diambil dramatis popular Rita Rudaini Mokhtar, 33 membabitkan isu perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, 22 di Songkhla, Thailand, 25 Februari 2008 nampaknya masih belum mampu menyenangkan hati keluarga mentuanya.

Kesabaran manusia ada tahapnya, tetapi sekiranya ada perlakuan dibuat boleh memberikan implikasi buruk kepada kerjaya dan nama keluarga, pada pandangan pelakon itu ianya tidak seharusnya dibiarkan.

Atas alasan itu Rita mengambil keputusan untuk meluahkan segalanya agar kekecohan cuba dilakukan keluarga mentua tidak berpanjangan.

Kata pelakon utama drama bersiri Rozzana ini sewaktu menghubungi Metro Ahad, sebaik sidang media khas yang diadakan akhir Disember lalu selesai atas permintaan keluarga mentuanya sendiri, dia terus-terusan menerima serangan peribadi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan sekarang, media.

Sebelum itu Rita dan Aidil sudah menegaskan bahawa selepas sidang media terbabit, tiada lagi kenyataan mengenai isu pernikahan cuba ditimbulkan kedua-dua belah pihak.

Jelas Rita yang kini sedang mengandung tiga bulan, kenyataan diberikan keluarga mentuanya menerusi media baru-baru ini benar-benar mengejutkannya dan suami.

Lebih menyedihkan apabila dakwa pelakon itu, keluarga mentuanya memberikan kenyataan tidak benar hanya semata-mata untuk menjatuhkan maruah keluarganya dan suami.

“Perkara ini seharusnya dihentikan, dan sudah-sudahlah mereka menuduh saya dan keluarga mengenai pernikahan ini. Sedangkan keputusan diambil bukan perkara tidak baik. Ia atas kehendak Aidil dan persetujuan saya.

“Saya tahu mereka tidak suka dan tidak boleh menerima saya, dan atas alasan itu mentua lebih senang menggunakan media untuk bercakap apa saja asalkan ia dapat memburukkan saya dan keluarga,” katanya sewaktu dihubungi.

Tegasnya, jika ada perkara yang menimbulkan perasaan tidak puas hati apa salahnya keluarga mentua duduk berbincang dan bercakap sendiri dengan anaknya. “Agaknya mereka lebih selesa bercakap dengan orang luar berbanding anak sendiri, seperti contoh memberikan kenyataan kepada orang surat khabar.

“Membaca kenyataan yang disiarkan, membuatkan saya berasa keliru. Saya tidak tahu apa lagi yang tidak kena kerana apa saja permintaan mereka, Aidil cuba patuhi. Malah sepanjang saya dikecam dengan pelbagai hinaan yang dihantar menerusi SMS, saya terus diam kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Tapi sayangnya pihak keluarga mentua tidak sedar sebenarnya lagi banyak kita bercakap, lagi banyak kesilapan yang kita lakukan sehingga akhirnya terkena batang hidung sendiri,” katanya.

Jelas Rita sebagai manusia biasa, dia sudah melakukan segalanya termasuklah memohon maaf kepada keluarga mentua, tetapi perkara itu masih belum dapat membuatkan mereka menerima kenyataan.

“Ada kenyataan diberikan mentua mengenai saya. Katanya mereka tidak boleh bertemu dengan saya kerana takut kalau bertemu nanti mereka tidak dapat mengawal perasaan dan cakap perkara yang bukan-bukan.

“Pada saya, sebagai orang tua yang jauh lebih makan garam tidak seharusnya mereka mengeluarkan kenyataan seperti itu. Seharusnya orang tua lebih sabar berbanding orang muda seperti kami. Jika tidak, bagaimana mereka mahu memberikan contoh yang baik kepada anak-anak.

“Dalam waktu sama mereka berkata, saya tidak pernah pulang sejak bernikah. Dua kenyataan ini membuatkan saya tidak faham. Sebelum ini sewaktu kami pulang memberitahu mengenai pernikahan kami dan memohon maaf tetapi kami dihalau. Malah keturunan saya turut dihina.

“Mereka menyumpah dan mengharamkan saya menjejakkan kaki ke rumah mereka. Jika sudah begitu, bagaimana saya hendak pulang kerana jika ia saya lakukan bermakna saya menentang dan melanggar kehendak mereka. Saya cuba patuhi apa saja kehendak mereka tetapi mengapa saya terus dimaki dan dicaci,” katanya.

Cerita bekas Dewi Remaja 1999 ini, selepas mereka dihalau dia pernah memberikan cadangan kepada Aidil agar tunggu keadaan reda untuk pulang ke rumah mentua, bagaimanapun belum sempat perkara itu dilaksanakan Rita menerima SMS berupa cacian dan hinaan termasuklah dia diharamkan menjejakkan kaki ke rumah mentua.

“Kesalahan saya kerana berkahwin dengan anak mereka tetapi apa yang mereka hina tiada kena mengena dengan kesalahan saya. Sebagai contoh menghina keturunan, mengaibkan maruah dan malah pernah menyatakan tidak mahu menerima saya dunia dan akhirat.

“Bayangkanlah jika anda berada di tempat saya apa yang harus dilakukan. Hendak pergi berjumpa keluarga mentua serba salah dibuatnya. Saya sendiri tidak pernah meminta suami menyokong saya, tetapi sekurang-kurangnya fahami apa yang harus kami lalui.

“Saya mohon maaf sekali lagi apabila terpaksa bersuara, lagipun selama ini saya tidak menghalang mereka daripada meluahkan apa yang mereka mahu nyatakan kepada pihak media. Bagaimanapun atas apa yang berlaku rasanya saya berhak untuk bercakap selepas sekian lama mendiamkan diri,” katanya.

Jelas Rita lagi, kenyataan ini diberikan bukan mahu memburukkan keadaan tetapi untuk menjelaskan kedudukan sebenar kepada pihak yang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan kelak dia tidak dipersalahkan lagi.

Kata Rita lagi, dia turut menyimpan segala SMS cacian dan ugutan yang ditujukan kepadanya dan keluarga sebagai bukti sekiranya pihak mentua bertindak melampaui batas.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

Related Posts with Thumbnails